Kamis, 26 Desember 2013

Kota Belud Jadi Perintis Program ‘Klik Dan Bantu’


PAPAR – Mulai 1 Jan depan, Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan akan memperkenalkan program ‘Klik dan Bantu’, iaitu perkhidmatan atas talian yang menghubungkan majlis daerah dan perbandaran tempatan bagi mempercepatkan penyampaian aduan dan masalah penduduk.

Menterinya Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata buat permulaan program berkenaan akan dilaksanakan di Kota Belud sebagai perintis dalam menyegerakan penyelesaian masalah dan perkhidmatan yang diperlukan rakyat.

“Sistem itu adalah adaptasi berdasarkan ‘Fix My Street’ yang diguna pakai di negara barat seperti Amerika Syarikat yang menghubung secara langsung penduduk dengan agensi kerajaan, bagi aduan dan perkhidmatan yang diperlukan.

Abdul Rahman ditemui pemberita selepas merasmikan projek pembinaan semula rumah di bawah program Strategi Lautan Biru Kebangsaan ke-7 (NBOS7) ‘My Beautiful Neighbourhood’ (Kejiranan Indah) di Kampung Kelanahan di sini, hari ini.

Menurutnya, bagi program perintis ini, skop aduan akan diberi keutamaan kepada masalah seperti jalan berturap, pokok tumbang, paip pecah atau parit tersumbat.

“Kita dapati rakyat Malaysia kini mempunyai telefon canggih yang boleh memuat turun sistem berkenaan, gambar-gambar seperti jalan raya berlubang di kampung dan perbandaran. Mereka tidak perlu menulis nama atau lokasi, kerana  ia akan ditentukan oleh sistem GPS (sistem kedudukan sejagat),” katanya.

Menurut beliau, menerusi program berkenaan, penduduk tidak perlu berurusan di pejabat daerah kerana segala permasalahan dan perkhidmatan yang diperlukan akan dihantar terus kepada pihak berkaitan untuk tindakan.

Dalam pada itu, beliau berkata kementerian akan melaksanakan 30 projek NBOS di seluruh negara dengan menyasarkan golongan miskin pada tahun depan.

Terdahulu, dalam ucapannya beliau berkata Jabatan Bomba dan Penyelamat telah melaksanakan 20 projek NBOS7 atau pembinaan rumah khas ini, di seluruh negara, sepanjang tahun ini.

“Kesemua 20 projek telah pun disiapkan sepenuhnya dan diduduki oleh penduduk terlibat. Malahan, saya turut berbangga kerana satu daripada projek berkenaan membabitkan pembinaan rumah NBOS di Kuala Besut, Terengganu, menyaksikan rumah berkenaan dibina dalam tempoh hanya tujuh hari. Saya kira ini satu rekod baharu dalam pembinaan rumah di negara ini,” katanya.

Beliau berharap Jabatan Bomba dan Penyelamat akan terus memberikanperkhidmatan terbaik dan bertaraf dunia kepada masyarakat termasuk penubuhan pusat sehenti untuk membantu mangsa kebakaran.

Projek NBOS 7 yang dikendalikan sepenuhnya jabatan itu menerima  peruntukan RM5.5 juta di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) untuk projek pembinaan semula rumah terbakar di seluruh negara tahun ini.

Pada majlis itu, Abdul Rahman turut menyerahkan kunci rumah kepada seorang mangsa kebakaran, Noripah Pakar yang kehilangan rumah dalma kebakaran, Ogos tahun lepas.

Turut hadir anggota Parlimen Papar yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.- BERNAMA

Tidak ada komentar:

Posting Komentar