Senin, 24 Februari 2014

Pelbagai Inisiatif Baru Diperkenal Untuk Kelangsungan Ekonomi Bumiputera


SHAH ALAM -  Penglibatan Kaum Melayu dan Bumiputera kepada agenda nasional tidak boleh dinafikan oleh sesiapa.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, sebarang agenda yang bersifat nasional yang tidak mengambil kira atau mengabaikan agenda Melayu serta Bumiputera adalah tidak adil dan saksama.

“Sekiranya kaum majoriti Bumiputera tidak dibela dan berasa diri mereka terancam atau dipinggirkan, negara tidak akan mengecapi keamanan dan kestabilan,” katanya pada Majlis Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera yang diadakan di Dewan Agung Tuanku Canselor, di sini, pagi ini.

Selain itu, Model Ekonomi Baru yang diperkenalkan adalah berasaskan prinsip pertumbuhan dengan kesaksamaan bagi memastikan semua masyarakat di Malaysia memperoleh manfaat daripada pembangunan ekonomi dan kekayaan negara.

Kadar kemiskinan Bumiputera dilaporkan telah berkurangan daripada 64.8 peratus dalam tahun 1970 an kepada 2.2 peratus pada tahun 2012.

Dalam memperkasakan lagi ekonomi bumiputera, aspek pendidikan telah diberi suntikan dan inisiatif dengan mempergiatkan lagi program re-skilling.

“Peruntukan tambahan akan diberikan kepada GiatMARA bagi memperoleh peralatan berteknologi terkini untuk mengendalikan program latihan.

“Manakala bilangan program latihan yang dikendalikan oleh Institut Kemahiran Belia Negara juga akan ditambah dengan mengamalkan pendekatan latihan dua syif,” kata Najib lagi.

Selain itu, Najib juga mengumumkan suntikan sebanyak 10 billion unit saham dalam Skim Amanah Saham Bumiputera 2 atau ASB2 yang akan dilancarkan oleh Permodalan Nasional Berhad (PNB).

Kerajaan juga akan memperbanyakkan pembinaan rumah mampu milik kepada Bumiputera di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

Sehubungan dengan itu, peranan UDA Corporation akan diperkukuh untuk membantu membangun hartanah termasuk rumah kediaman, kompleks dan ruang perniagaan, bangunan industri dan perdagangan di kawasan bandar.

Oleh: JULIANA JOHAR

Foto: RIZA RAZAK

Tidak ada komentar:

Posting Komentar